Monday, October 20, 2008

Jihad bukan keganasan


Maksudnya: Daripada Ibn `Abbas katanya: Rasulullah s.a.w apabila menghantar tenteranya maka baginda bersabda: “Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. 1

Maksudnya:Daripada Ibn `Umar r.a. “Seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. 2

Hadith-hadith di atas adalah antara hadith-hadith yang menggariskan disiplin mujahidin Islam ketika berada di medan jihad. Sekalipun Islam mengajak umatnya berperang menegak serta mempertahankan maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan peperangan di atas nama ianya peperangan seperti yang kita lihat apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa jahat terhadap negara-negara yang mereka perangi. Islam mengawal dan mengajar umatnya, sekalipun peperangan itu adalah peperangan, namun nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap wajib dituruti dan dipatuhi. Firman Allah, maksudnya:

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 3

Adalah mudah bagi bagi kita untuk mengamalkan sikap yang murni dan akhlak yang mulia dalam keadaan biasa dan aman. Ini kerana suasana aman menjadikan akal dapat berfikir dengan baik serta menguasai diri, tetapi perkara ini menjadi begitu sukar dalam suasana peperangan.

Sekalipun begitu Islam tetap dengan kemuliaannya. Islam mewajibkan mereka yang berperang di atas namanya terus beriltizam dengan peraturan dan akhlak sekalipun ketika di medan perang. Peperangan di atas nama Islam adalah demi untuk meninggikan kalimah Allah. Juga supaya manusia dapat menerima dan melihat keindahan Islam. Ini tidak mungkin dengan cara ditumpahkan darah manusia sebanyak-banyak. Sebaliknya Islam meletakkan peraturan agar dikurangkan nyawa yang terkorban dan darah yang tumpah. Inilah lambang peradaban Islam yang tiada tolak bandingnya. Dengan itu, manusia akan menjadi jinak hatinya dengan agama ini.

Inilah rahsia bagaimana Islam dapat berkembang pantas pada zaman kegemilangannya. Negara atau wilayah yang dimasuki oleh tentera Islam dengan pantas penduduknya akan beriman dengan ajaran Islam, tanpa sebarang paksaan, sebaliknya akhlak yang dipamirkan oleh tentera Islam. Tiada paksaan di dalam Islam untuk seseorang beriman dengan ajarannya. Kepercayaan dan keimanan sesuatu yang tidak mungkin terhasil dengan paksaan. Keimanan itu bermula dengan hati yang percaya. Sekiranya seseorang yang dipaksa itu mengucapkan sesuatu dengan lidah, namun jika hatinya tidak beriman, dia tetap dianggap tidak beriman. Pedang dan senjata tidak mungkin dapat memasukkan iman ke dalam hati manusia. Namun peranan pedang dan senjata ialah untuk menghapuskan tangan-tangan yang menghalang iman masuk ke dalam hati manusia lain.

Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya dibunuh mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata. Secara terperincinya, mereka ialah:

Pertama: Wanita dan kanak-kanak. Antara dalilnya, hadith daripada Ibn Umar r.a yang disebut di atas.

Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H): “Tidak diharuskan sesiapapun di kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka” . 4

Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): “Demikian juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh” . 5

Kedua: Orang tua dan orang yang uzur. Jumhur ulama (majoriti), iaitu Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan satu dari pendapat al-Syafi`iy, menyatakan mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri terhadap tindakan dan perancangan mereka di dalam peperangan. Dalilnya firman Allah, maksudnya:

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 6

Dalam riwayat yang dhaif daripada Abu Daud dikatakan Nabi s.a.w. bersabda:

“Pergilah kamu (ke medan perang) dengan nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah, kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik, sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik”. 7

Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun golongan tua yang tidak membantu peperangan samada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan kepada wanita yang tidak membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id (wafat 702H): “Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh.

Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan kemerbahayaan. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu mereka itu tidak boleh dibunuh” . 8

Apa yang penting ialah mereka tidak bertindak membantu peperangan. Oleh itu pasti daripada Nabi s.a.w. juga bahawa baginda memerintahkan supaya dibunuh Zaid bin al-Summah yang berusia 120 tahun atau lebih kerana membantu tentera Hawazin. 9

Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah-rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn `Abbas yang dinyatakan tadi.

Kata al-Syaukaniy (wafat 1250H): “Pada hadith ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum muslimin”. 10

Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a., katanya:

Maksudnya:“Kami bereperang bersama dengan Rasulullah s.a.w, lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki, sabda baginda: “Pergi kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan `asif (pengambil upah)”. 11

Kata al-Sindiy (wafat 1138H): “Maksud pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan pengambil upah berperang”. 12 Antara tanda pengambil upah ialah mereka tidak bersenjata . 13

Mungkin termasuk juga di dalam pengambil upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.

Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Mas`ud, katanya: Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya:

Maksudnya:“Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak dibunuh”. 14

Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadith ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan” 15

Demikian tingginya nilai tamadun yang dipegang oleh Islam sejak 1400 tahun lebih yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa. Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram serta perhitungan pada hari kiamat. Ini semua adalah bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas teks Islam yang sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan peradaban yang wujud pada hari ini.

--------------------


1- Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”
2- Riwayat al-Bukhari dan Muslim
3- Surah al-Baqarah: 190
4- al-Syafi`iy, al-Umm (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 4/239.
5- Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut) 1/280.
6- Surah al-Baqarah: 190.
7- Riwayat Abu Daud sanadnya dha`if.
8- Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam (Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut) 4/184.
9- Syams al-Haq Abadi, `Aun al-Ma’bud, jld 7, m.s. 196, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut
10- Al-Syaukaniy, Nail al-Autar (Dar al-Jil, Beirut) 8/74.
11- Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih. lihat: 2/314, (Maktabah al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh)
12- al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 3/380.
13- `Aun al-Ma’bud, 7/236.
14- Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan. Lihat: al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid (Dar al-Rayyan, Beirut) 5/314.
15- `Aun al-Ma’bud, 7/314

Serangan terhadap isu aurat wanita


Episod serangan pemikiran Barat terhadap Islam dan umatnya bukanlah perkara baru. Ini melalui tulisan golongan orientalis mereka dan kempen media massa yang dikuasai Barat. Malangnya terdapat di kalangan umat secara sedar ataupun tidak, sedikit sebanyak termakan dengan serangan mereka. Benteng umat Islam dalam hal ini ialah pegangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah yang bersepakat tanpa khilaf bahawa untuk memahami Islam rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan setiap individu hendak dinilai dengan dua neraca ini.

Antara perkara yang cuba dipertikaikan oleh Barat ialah persoalan aurat wanita di dalam Islam. Mereka menganggap kadar aurat yang dinyatakan oleh nas-nas Islam telah mengongkong kebebasan wanita. Cara yang terbaik bagi mereka ialah wanita diberi kebebasan dalam menampilkan tubuh mereka yang merupakan aset besar bagi diri wanita itu sendiri. Maka kita lihat bagaimana wanita-wanita Barat mendedahkan tubuh mereka dan menggayakan tingkah laku seks mereka. Ini bagi mereka lambang ketamadunan dan kebebasan.

Ada segelintir di kalangan umat yang terpengaruh dengan dakyah ini. Antaranya mempertikaikan batas-batas aurat wanita dalam Islam. Sebagai langkah awal maka muncullah pandangan yang menganggap rambut wanita bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan ini sebenar tidak lebih hanya petikan pandangan dua orang tokoh Mesir yang mendewakan kehidupan Barat iaitu Al-`Ashmawi dan `Abd al-`Azim Ramadhan. Keduanya menganggap kepala wanita bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya menutup akal. Sebenarnya pandangan mereka itu telah dijawab oleh Mufti Mesir Muhammad `Ali at-Tantawi dan tokoh mufassir Mesir, as-Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi r.h. Sesiapa yang inginkan pendetilannya boleh rujuk buku “al-Gharah `ala al-Hijab”. Buku tersebut menyebut hujah-hujah kedua lelaki berkenaan serta jawapan at-Tantawi dan al-Mutawaali asy-Sya’rawi terhadap mereka.

Perjuangan menentang hijab berlaku sejak dahulu lagi. Kononnya hijab adalah punca kemunduran dunia Islam. Mereka lupa bahawa punca kemunduran sebenar ialah kerana kita meninggalkan agama yang tulen dan membiarkan kepalsuan, bid`ah serta kemungkaran hidup dalam masyarakat. Mereka ini akan cuba mengulas nas-nas al-Quran dan al-Sunnah agar menepati kehendak mereka, dan kehendak mereka pula selalunya selari dengan Barat. Marqus Fahmi dalam tulisannya al-Marah fi asy-Syarq juga mempertikaikan hijab. Tulisan beliau telah dijawab oleh tokoh-tokoh cendiakawan Islam semasa, termasuk Anwar al-Jundi.

Persoalan aurat sudah banyak dibahaskan. Setiap pengkaji Islam boleh merujuk kitab-kitab tafsir yang beralaskan nas-nas syarak dalam menafsirkan Surah al-Ahzab 59 dan al-Nur 60.

Dalam Surah al-Ahzab, Allah berfirman (maksudnya): "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan ke atas tubuh mereka pakaian mereka, cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Dalam Surah al-Nur pula Allah menyatakan (maksudnya): "Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Para ulama dalam ini, ada yang bertegas menyatakan seluruh tubuh wanita adalah `aurat. Ini seperti yang dipegang oleh kebanyakan ulama di Saudi sekarang. Sesiapa yang ingin pendetilan bolehlah merujuk kepada kitab-kitab fatwa para ulama di Saudi, antaranya; buku al-Hijab yang ditulis oleh as-Syeikh Soleh Fauzan.

Sementara jumhur (majoriti) ulama pula menyatakan muka dan tapak tangan tidak termasuk dalam `aurat. Hujah-hujah yang kuat dalam masalah ini telah dijelaskan as-Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab lil al-Mar ah baina al-Qaul bi bid`atih wa al-Qaul bi Ujubih. Saya amat cenderung kepada pendapat jumhur ini. Dalam majalah ini juga saya pernah mengemukan rencana khas yang membuktikan bahawa pendapat yang terkuat, wajah wanita bukannya aurat. Ada fuhaqa mazhab Hanafi yang lebih longgar, membenarkan pergelangan kaki dibuka. Abd al-Karim Zaidan telah menghimpunkan perbincangan ini dalam tulisannya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah.

Saya tidak bercadang untuk mendetilkan persoalan ini, sebaliknya sekadar untuk menjelaskan bahawa adalah lebih baik para pembaca merujuk kepada para ilmuan dan cendiakawan Islam yang dipercayai agamanya dari merujuk kepada beberapa kerat penulis jalanan yang diragui diri dan ilmunya.

Persoalannya, mengapakah isu tutup `aurat sering kali diserang? Apakah tujuannya?

Serangan ini muncul sejak lama lagi. Antara puncanya adalah tindakbalas umat Islam terhadap perkembangan yang berlaku di dunia Barat. Barat yang sebelumnya ketinggalan jauh di bandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam kembali berjaya menguasai tamadun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka sebagai simbol kejayaan tamadun manusia modern. Ini sebenarnya hasil kecuaian umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Golongan agama yang tidak faham telah menjadikan agama begitu jumud menolak kemodenan dan hanya tertumpu kepada persoalan fardu `ain. Sementara banyak pemerintah umat Islam hanya mementing diri dan meninggalkan umat. Justeru itu semua pandangan kebanyakan bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah dianggap kononnya simbol kepada gaya hidup zaman modern, juga kononnya mereka adalah pejuang hak dan kebebasan manusia modern.

Dalam menghadapi cabaran ini, maka tiga sikap utama telah muncul di tengah umat Islam yang telah ketinggalan ke belakang:

Pertama: Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti Taha Hussain di Mesir. Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal ath-Thaqafah fi Misr, “Jalan ke arah itu hanyalah satu..iaitu kita mesti mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamudunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai”. Bahkan dalam beberapa tempat beliau dengan jelas mengajak agar Mesir meniru Eropah sekalipun dalam beragama. Bagi golongan ini, menutup `aurat sudah pasti ditentang oleh mereka kerana ianya boleh membezakan kita dengan Barat.

Ahmad Reda Bik yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di Turki. (lihat: al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu`asir, jld 2, m.s. 273)

Golongan yang kedua, mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa yang mereka lakukan ialah cuba menafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau as-Sunnah yang menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan cara hidup di Barat. Bagi mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan dengannya. Sedangkan dalam manhaj (methodologi) Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut oleh al-Qaradawi dalam al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam, “Mereka menuntut agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan”.

Sebab itu saya katakan, kalaulah sekiranya wanita Barat memakai purdah, percayalah mereka sungguh-sungguh mempertahankan dalil wajib memakai purdah. Kalau wanita Barat bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung kepala. Namun oleh kerana mereka melihat dunia Barat tidak menutup `aurat seperti wanita Islam, maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai dengan keadaan tersebut. Lihat apa kata seorang tokoh mereka, Dr. `Imad `Abd al-Hamid an-Najar dalam Jaridah al-`Akhbar, “..adapun mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah masyarakat berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut oleh al-Quran mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah. Hukum-hakam ini bukanlah semestinya berkaitan dengan seluruh wanita.”

Dewasa ini ada yang menamakan golongan ini sebagai aliran Islam Amerika atau Islam Liberal Mereka ini tidak menyatakan yang mereka inginkan tinggalkan agama tetapi mereka tafsirkan agama seiras pandangan-pandangan umum yang diterima oleh masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas (teks) hendaklah nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan tafsiran nas.

Kata tokoh tafsir, Dr. Solah al-Khalidi dalam buku Mafatih li at-Ta`amul ma`a al-Quran: “Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran) himpunan ilmu pengetahuan, thaqafah, akhlaq, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan al-Quran, maka cahaya al-Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..”

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi dengan kehendak yang diputuskan. Inilah cara al-Quran diperalatkan. Sesiapa yang ingin penjelasan yang detil dalam bab ini, dia boleh merujuk kepada buku tulisan al-Khalidi di atas.

Golongan ketiga menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan diakui, bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedukan dari kemajuan yang pernah wujud di dunia Islam dahulu. Bukan semua yang ada di Barat mesti ditolak. Namun bukan semua mesti diterima. Timbangannya ialah tafsiran yang betul terhadap nas-nas- al-Quran dan al-Sunnah. Islam adalah agama yang hidup dan sesuai untuk segala masa dan zaman. Kaedah syara’ juga menyatakan bahawa “tidak dinafi perubahan fatwa dengan perubahan zaman”. Tetapi hendaklah dibezakan bahawa di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan yang boleh berubah. Inilah golongan dan pendirian umat Islam yang lurus dengan agamanya.

Dengan penuh kesedaran juga, saya katakan, masih ada perkara-perkara yang berhajat kepada semakan di dalam ajaran Islam yang diamalkan, terutama yang membabitkan persoalan ijtihad. Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji perasaan takutkan Allah dalam memetik hukum-hakam. Banyak juga perkara-perkara baru yang ditimbulkan oleh kemajuan Barat perlu dinilai dengan perasaan yang adil dan saksama. Pintu ijtihad terbuka dan tiada siapa berhak menutupnya. Bagaimanapun bagi ijtihad itu ada syarat-syarat yang tidak boleh diketepikan dengan mudah.

zzzzzzzzzzzz


Saya suka tidur. Malam2 saya tidur. Saya tak suka orang kacau saya tidur..........hahaha... Macam karangan zaman muda2 dulu jerk kan. Time cikgu suruh wat karangan pasal hobi.... Bes jerk tengok bear 2 ekor ni membuta.... Rasa ngantuk plak tgk...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...